Sunday, 21 December 2014

LAGU DIKIR BARAT


HIBURAN TRADISIONAL NEGERI KELANTAN

  

1. DIKIR BARAT. 

Dikir Barat adalah suatu permainan tradisional yang paling digemari oleh masyarakat Melayu di Kelantan. Ianya wujud dalam kalangan masyarakat biasa di kampung-kampung dan pinggir bandar. 

Di dalam persembahan Dikir Barat terdapat satu kumpulan yang diketuai oleh seorang Tukang karut dan Tok Juara. Mereka akan mengarut sambil berbalas - balas pantun dan diikuti oleh awak-awak sebagai suara latar dengan suara yang kuat dan lantang. Dikir barat ini boleh dipersembahkan sebagai hiburan atau pun dipertandingkan. Permainan ini biasanya dimainkan oleh masyarakat di musim menuai padi dan juga di majlis perkahwinan. Pertandingan selalunya diadakan oleh persatuan-persatuan belia tempatan, badan-badan kerajaan ataupun orang-orang tertentu untuk mengutip wang.

Dikir Barat adalah permainan yang baru jika dibandingkan dengan teater tradisional yang lain. Perkembangannya sukar diatasi kerana ianya sering menerima perubahan dari bentuk persembahannya dari masa ke masa mengikut perkembangan zaman. 

Perkataan Dikir ialah hasil dari dua kombinasi seni iaitu Dikir dan pantun atau dikir dan karut. Pengertian "Karut" itu sendiri ialah dari istilah mengarut dalam bentuk pantun atau syair. Jadi Dikir Barat, Dikir Karut, Dikir pantun dan Dikir Syair adalah sama ertinya. Walaubagaimanapun di Kelantan ianya lebih terkenal dengan Dikir Barat dan di Selatan Thai dengan Dikir Karut.




 

2. GASING.

Gasing merupakan sejenis permainan yang boleh berputar pada paksinya, sambil mengimbang pada satu titik. Gasing merupakan permainan tradisional orang-orang Melayu sejak dahulu lagi. Biasanya dimainkan selepas musim menuai. Permainan gasing dipertandingkan antara kampung. Pemenang dikira berdasarkan tempoh masa gasing mampu berputar.

Gasing dibuat daripada kayu bebaru, kemuning, merbau, rambai, durian atau kundang. Kayu tersebut akan ditakik-takik dan dikikis sehingga menjadi bentuk gasing.

Tali gasing dibuat daripada kulit pokok bebaru. Tapi sekarang tali gasing dibuat daripada tali nilon. Panjang tali gasing biasanya bergantung kepada panjang tangan seseorang. Biasanya 1 meter panjang. Minyak kelapa digunakan untuk melicinkan pergerakan tali gasing.




 

3. MAIN PUTERI.

Main Puteri dianggotai oleh dua watak utama iaitu Tuan Puteri dan Tok Minduk yang bermain rebab dan diiringi oleh paluan gendang ibu dan anak. Ketika Tuan Puteri lupakan diri, semangat halus akan meresap kedalam tubuh Tuan Puteri dan tok minduk akan menyoal makhluk halus tersebut untuk memastikan punca penyakit.

Main Puteri akan dimainkan selama satu sehingga tiga malam untuk tujuan berubat penyakit disebabkan oleh rasukan makhlus halus, hilang semangat, ketidak seimbangan tenaga dalaman, dan juga oleh gangguan angin (kehendak yang tidak dipenuhi) Main Puteri diiringi oleh peralatan muzik sama dengan Mak Yong seperti rebab (alat muzik bertali tiga),.gendang dua kepala, dan tetawak.




 

4. SILAT.

Seni Silat atau Pencak Silat adalah salah satu seni mempertahankan diri bagi bangsa Melayu atau Nusantara yang diamalkan sejak berkurun yang lampau. Usia sesebuah ilmu atau salasilah seni silat tidak dapat dihuraikan secara terperinci dan tepat kerana tiada usaha-usaha untuk mengkaji dari pihak berwajib secara mendalam. Ada yang menganggarkan seni ini telah berusia beratus-ratus tahun dan diperturunkan dari generasi ke generasi. Ini termasuklah pengamal-pengamal seni mempertahankan diri ini di Brunei, Filipina, Indonesia, Malaysia, dan Thailand. Mereka yang belajar silat digelar pesilat. Amalan sekarang, pegajar atau guru silat digelar jurulatih dan seorang yang mewarisi aliran sesuatu perguruan digelar Guru Utama aliran itu.Kebanyakan guru silat kini menolak gelaran Mahaguru kerana bagi mereka gelaran 'maha' hanya sesuai untuk Allah (Tuhan) dan ini menepati perawakan guru silat yang kebiasaannya gemar menyembunyikan kemahiran mereka dan amat merendah diri. Pesilat senior yang telah lama berkecimpung dalam dunia silat sebagai pengajar (atau menyembunyikan kemahiran mereka), berkemahiran tinggi dan ada di antaranya mewarisi beberapa aliran yang telah hilang digelar sebagai Guru Tua dan amat dihormati. Pesilat yang mempunyai tahap silat yang tinggi digelarkan pendekar.

Antara senjata-senjata Melayu lama yang sering digunakan oleh pesilat adalah seperti keris, badik, kerambit, parang, pedang, lading, Tumbuk Lada, tekpi, tongkat, tembong dan sundang. Bagi silat yang tidak menggunakan senjata, pengajaran akan menumpukan perhatian kepada pertempuran tangan kosong (tanpa senjata). Secara am sesebuah aliran silat mengajar kedua-dua kemahiran dan aliran yang hanya menumpukan salah satu daripadanya adalah sedikit. Kebiasaannya seseorang penuntut atau murid baru akan ditumpukan kepada kemahiran tempur tangan kosong sebelum diajar bermain senjata. Bagi sesetengah aliran, hanya murid yang diiktiraf berkemahiran dan mempunyai adab keperibadian yang tinggi dibenarkan mempelajari kemahiran senjata, terutama bagi yang mempunyai senjata yang dianggap senjata 'rasmi' bagi aliran itu.

Pergerakan silat terbahagi kepada bunga (pergerakan seolah-olah tarian, digelar juga seni atau tari) dan buah (pukulan atau buah pukul). Bagi mereka yang tidak pernah melihat seni pertahanan diri ini, mungkin ia kelihatan seperti sejenis tarian. Namun terdapat aliran yang hanya mempunyai buah seperti Silat Cekak dan Buah Bentayan. Seni tari yang halus ini memungkinkan ia digunakan sebagai persembahan dalam sesuatu majlis keramaian, malah hampir setiap aliran mempunyai 'tari sembah' termasuklah aliran yang tidak mempunyai bunga. Tari sembah ini dipersembahkan untuk memperkenalkan diri dan aliran yang diwakili/dipelajari. Dalam situasi pergaduhan, permulaan langkah dari tari sembah atau sejurus dari bunga yang diperlihatkan membolehkan pesilat mengenali rakan sealiran dan memungkinkan situasi berakhir dengan damai dan bermaaf-maafan.

Adalah menjadi ungkapan yang terkenal dan biasa disebut oleh guru-guru silat bahawa bunga silat mempunyai seribu satu muslihat. Selain daripada kelihatan mengelirukan (seolah-olah menari) dan sebab-sebab di atas, bunga juga digunakan untuk memberi masa dan ruang kepada lawan untuk menghulurkan salam perdamaian (ini dapat dilihat dalam kebanyakan bunga yang kelihatan seperti menghulur salam), menyembunyikan buah dan sudut serangan dan mengacah serta mengumpan lawan (kadangkala sehingga sengaja menunjukkan bahagian tubuh tertentu bagi diserang untuk memerangkap musuh). Silat Gayung Fatani terkenal dengan pergerakan bunga yang cantik dan istilah 'melilit'. Pesilat aliran ini akan sengaja memberi ruang dan isyarat kepada musuh untuk menyerang atau cuba melepaskan diri, di mana semakin musuh itu menyerang setelah termasuk perangkap kuncian, maka semakin ketat mereka akan 'terbelit' dalam kuncian pesilat aliran ini.

Silat juga terkenal sebagai sistem pertahanan diri yang banyak menggunakan kuncian, sama ada kunci urat saraf atau anggota tubuh. Istilah 'kunci mati' adalah sinonim dengan silat.

GEOGRAFI NEGERI KELANTAN

Kelantan Darul Naim terdiri daripada 10 jajahan iaitu :-

 

1. JAJAHAN KOTA BHARU.


Jajahan Kota Bharu merupakan salah satu daripada 10 jajahan pentadbiran negeri Kelantan. Ia disempadani oleh Jajahan Pasir Mas di sebelah barat, Jajahan Tumpat di utara, Jajahan Bachok di timur dan Jajahan Machang di selatan.

Di bawah pentadbiran Jajahan Kota Bharu terdapat 14 buah daerah (diketuai penggawa), 131 buah mukim (diketuai penghulu) dan 601 buah kampung. Kerajaan tempatan yang wujud ialah Majlis Perbandaran Kota Bharu dan Majlis Daerah Ketereh (dulu Majlis Daerah Kota Bharu).

Antara bandar dalam jajahan ini ialah Kota Bharu, Pengkalan Chepa, Kubang Kerian dan Ketereh.


2. JAJAHAN PASIR MAS.

Pasir Mas adalah sebuah jajahan daripada 10 buah jajahan yang terdapat dalam negeri Kelantan. Jajahan-jajahan lain adalah Kota Bharu, Tumpat, Pasir Puteh, Bachok, Kuala Krai, Machang, Tanah Merah, Jeli dan Gua Musang. Ia bersempadanan dengan Kota Bharu di sebelah timurnya dan Tumpat di sebelah utaranya. Ia juga bersempadan dengan negara Thailand di sebelah barat dan di sebelah selatan bersempadan dengan Tanah Merah. Seluas 3.9 peratus daripada keluasan negeri Kelantan adalah keluasan Pasir Mas atau 57,800 hektar.

Sebelum Jajahan Pasir Mas diwujudkan ia merupakan sebahagian daripada Jajahan Kota Bharu. Walau bagaimanapun, setelah dipersetujui bersama, Jajahan Pasir Mas telah diasingkan pada tahun 1918 dan diletakkan dibawah pentadbiran sendiri di bawah Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Mas. Pada waktu itu Ketua Jajahan Pasir Mas yang pertama telah di sandang oleh Encik Jaafar yang memegang jawatan selama satu tahun.


3. JAJAHAN TUMPAT.

Tumpat ialah sebuah bandar utama di negeri Kelantan. Bandar ini terletak kira-kira 15 kilometer dari bandar Kota Bharu, ibu negeri Kelantan.

Tumpat merupakan salah satu daripada 10 jajahan pentadbiran negeri Kelantan yang terdiri daripada Kota Bharu, Pasir Mas, Tumpat, Pasir Puteh, Bachok, Kuala Krai, Machang, Tanah Merah, Jeli dan Gua Musang.

Tumpat terletak di hujung Landasan Pantai Timur yang dijalankan oleh Keretapi Tanah Melayu (KTM). Lokasi strategik ini menjadikan Tumpat pusat pengangkutan utama di Kelantan.


4. JAJAHAN PASIR PUTEH.

Pasir Puteh merupakan salah satu daripada 10 jajahan pentadbiran negeri Kelantan, Malaysia yang terdiri daripada Kota Bharu, Pasir Mas, Tumpat, Pasir Puteh, Bachok, Kuala Krai, Machang, Tanah Merah, Jeli dan Gua Musang. Bandar terbesar dalam jajahan ini juga mempunyai nama "Pasir Puteh".

Jajahan Pasir Puteh merupakan salah satu daripada enam zon yang dikelolakan oleh Pihak Berkuasa Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) yang bertujuan untuk memberi peluang pekerjaan kepada penduduk setempat. Jenis-jenis perusahaan kraftangan yang diusahakan oleh mereka adalah seperti kraftangan daripada perak, buluh daun tal, besi, seramik, tembaga, daun nipah, kayu, dan mengkuang.
Jajahan Pasir Puteh mempunyai hospital sendiri, iaitu Hospital Tengku Anis yang terletak di Jalan Kota Bharu. Selain itu, jajahan ini mempunyai ibu pejabat polis sendiri, bersama-sama dengan sekurang-kurang empat balai dan dua pondok polis.

Jajahan Puteh mempunyai 8 daerah dan 73 buah mukim Penghulu. Daerah-daerah itu ialah Padang Pak Amat, Bukit Abal, Bukit Awang, Bukit Jawa, Gong Datuk, Jeram, Limbongan dan Semerak. Keluasan keseluruhan jajahan ini ialah 167.2 batu persegi (433.8 kilometer persegi).


5. JAJAHAN BACHOK.

Bachok merupakan salah satu daripada 10 jajahan pentadbiran negeri Kelantan yang terdiri daripada: Kota Bharu, Pasir Mas, Tumpat, Pasir Puteh, Bachok, Kuala Krai, Machang, Tanah Merah, Jeli dan Gua Musang.


6. JAJAHAN KUALA KRAI.

Kuala Krai merupakan salah satu daripada 10 jajahan pentadbiran negeri Kelantan. Ibu daerahnya ialah bandar Kuala Krai. Kuala Krai merupakan jajahan kedua terbesar di Kelantan selepas Gua Musang dengan keluasan 2,287.10 kilometer persegi. Terdapat tiga daerah utama dalam jajahan ini iaitu Batu Mengkebang, Olak Jeram dan Dabong. Jumlah mukim di Kuala Krai ialah 35.

Kebanyakan penduduk di jajahan Kuala Krai mengusahakan tanaman getah. Jajahan ini bersempadan dengan Gua Musang di selatan, Jeli di barat, Tanah Merah di barat laut, negeri Terengganu di timur dan Machang di utara.

Sebelum tahun 1977, Kuala Krai dikenali sebagai Ulu Kelantan dan merangkumi Gua Musang, Kuala Krai dan daerah Kuala Balah di selatan Jeli. Bandar Kuala Krai ketika itu bertindak sebagai ibu jajahan Ulu Kelantan. Kuala Krai ditadbir oleh Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan. Pihak berkuasa tempatan yang mentadbir jajahan ini iaitu Majlis Daerah Kuala Krai (bagi kawasan utara jajahan) dan Majlis Daerah Dabong (bagi kawasan selatan jajahan).

Kuala Krai berkembang pesat setelah dibuka lebuhraya Kuala Krai-Gua Musang pada Ogos 1983 yang merupakan laluan jalan raya ke Kuala Lumpur dari Kota Bharu. Dua sungai utama iaitu Sungai Galas dan Sungai Lebir bertemu di Sungai Kelantan di bandar Kuala Krai. Terdapat stesen keretapi yang menghubungkan Tumpat ke Gua Musang.




7. JAJAHAN MACHANG.

Machang merupakan salah satu daripada 10 jajahan pentadbiran negeri Kelantan Darul Naim yang terletak di tengah negeri Cik Siti Wan Kembang. Machang mempunyai sebanyak 93,087 orang penduduk (banci 2010). Machang juga merupakan nama sejenis pokok buah.

Terdapat 6 daerah di Machang iaitu Labok, Pulai Chondong, Panyit, Pangkal Meleret, Ulu Sat, dan Temangan. Jumlah mukim di Machang ialah 30.

Di bahagian utara jajahan Machang terdapat jajahan Kota Bharu, di timurnya Jajahan Pasir Puteh dan bersempadan dengan Negeri Terengganu, di barat ialah Jajahan Tanah Merah manakala di selatan ialah Jajahan Kuala Krai.

Antara tarikan sejarah di sini ialah Menara Masjid Pulai Condong. Salah satu kampus cawangan Universiti Teknologi MARA juga bertempat di Machang.



8. JAJAHAN TANAH MERAH.

Tanah Merah merupakan salah satu daripada 10 jajahan pentadbiran negeri Kelantan. Tempat yang berhampiran ialah Machang, Jelatok, Sungai Kusial, Kampung Sat, Kampung Panjang, dan Kampung Joh.

Bandar Tanah Merah terletak di tepi landasan kereta api dari Gemas di selatan ke Tumpat di utara.
Selain itu, Tanah Merah dikenali bandar kedua di negeri Kelantan selepas Kota Bharu.

Rupa bumi Tanah Merah dipengaruhi oleh Sungai Kelantan yang lebar, mengairi kawasan pertanian seperti ladang getah, kelapa sawit dan tembakau. Bukit Kemahang (876 m) dan Bukit Kusial (723m) terletak di sebelah barat.

Jajahan Tanah Merah Merangkumi Tiga Daerah Penggawa, iaitu:
  • Daerah Bukit Panau
  • Daerah Ulu Kusial
  • Daerah Jedok
Manakala Daerah Penggawa Batu Melintang dan Daerah Jeli digugurkan daripada pentadbiran Pejabat Tanah dan Jajahan Tanah Merah Pada Tahun 1982 apabila Jajahan Jeli dibentuk dan dinaikkan taraf sebagai Jajahan penuh pada tahun 1986.
Jumlah mukim di Tanah Merah ialah 43.



9. JAJAHAN JELI.

Jeli merupakan salah satu daripada 10 jajahan pentadbiran negeri Kelantan yang terdiri daripada Kota Bharu, Pasir Mas, Tumpat, Pasir Puteh, Bachok, Kuala Krai, Machang, Tanah Merah, Jeli dan Gua Musang.

Beberapa kawasan utama di Jeli termasuklah Batu Melintang, Air Lanas dan Kuala Balah.

Pentadbiran Jajahan Jeli telah bermula pada 1hb. Julai 1982 sebagai sebuah jajahan kecil iaitu hasil daripada pecahan Jajahan Tanah Merah dan Kuala Krai iaitu sejurus lebuhraya timur barat dari sini ke Gerik, Perak dibuka ketika itu. Pada 1hb Januari 1986, Jajahan Kecil Jeli telah dinaikkan taraf sebagai sebuah Jajahan Penuh. Sehingga hari ini Jajahan Jeli adalah sebuah jajahan yang terbaru di Negeri Kelantan.



10. JAJAHAN GUA MUSANG.

Jajahan Gua Musang  terletak di selatan negeri Kelantan Darul Naim. Jajahan Gua Musang dikenali jajahan pedalaman Kelantan kerana kawasan ini amat terpencil. Jajahan Gua Musang merupakan jajahan yang terbesar di Kelantan.

Jajahan Gua Musang merangkumi 3 DUN iaitu Paloh, Nenggiri atau dulunya Bertam dan Galas (Bandar Gua Musang). Ahli Parlimennya kini ialah Bekas Menteri Kewangan Malaysia & Pengasas Petronas iaitu Tengku Razaleigh Hamzah.

Link :  http://ms.wikipedia.org/wiki/Kelantan

PELANCONGAN DI KELANTAN

MEMBELI-BELAH
 

1. Pasar Besar Siti Khadijah

Nama asal Pasar Besar Siti Khadijah ialah Pasar Besar Buluh Kubu. Walaubagaimanapun ia telah ditukar namanya kepada nama ini oleh Menteri Besar Kelantan iaitu Y.A.B Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat sebagai tanda penghormatan kepada kaum Hawa, memandangkan majoriti peniaganya terdiri daripada golongan wanita.

Satu pemandangan yang unik di pasar-pasar di Kelantan ialah peniaganya yang rata-rata terdiri daripada kaum wanita yang terkenal dengan minat berniaga.

Pasar ini mempunyai 4 tingkat dan berbentuk segi lapan. Tingkat bawah dikhususkan untuk barangan basah seperti ikan, sayur-sayuran, ayam dan sebagainya. Tingkat 1 pula diperuntukkan kepada barangan makanan kering seperti serunding, iaitu sejenis makanan Kelantan yang sangat terkenal. Juga terdapat Ayam percik, ikan percik, nasi kerabu, nasi berlauk, nasi dagang, laksam dan somtam merupakan antara makanan yang paling "tersohor" bagi rakyat negeri Kelantan. Kuih tradisional Kelantan seperti kuih tahi itik, akak, jala mas, buah tanjung, serabe, tepung pelita, dan pelbagai lagi kuih lain yang juga dijual di sini. Manakala tingkat 2 dan 3, untuk barangan bukan makanan.

Pasar ini terletak bersebelahan dengan Bazar Buluh Kubu.


PANTAI


 1. Pantai Cahaya Bulan

Pantai Cahaya Bulan merupakan salah satu pantai yang terkenal di negeri Kelantan, Malaysia. Ia terletak kira-kira 10 km dari Kota Bharu dan merupakan kawasan pendaratan tentera Jepun untuk menyerang British pada 8 Disember 1941. Pada suatu ketika, pantai ini dinamakan Pantai Cinta Berahi, suatu nama yang dikatakan diberi oleh seorang askar British ketika dia di pantai ini pada masa Perang Dunia II. Pada masa itu, askar tersebut sedang menderita kerana cintanya tidak berbalas. Sesetengah orang tempatan masih menggunakan nama lama ini pada hari ini, walaupun mereka lebih suka merujuk kepada pantai ini sebagai PCB.

Persisiran pantai ini adalah sejauh 1.2 kilometer. Pantai ini terkenal kerana kawasannya panjang dan lebar, dengan pasir yang cantik dan air yang jernih. Deretan pokok ru dan pokok kelapa pula menambahkan lagi kecantikan pantai ini. Oleh itu Pantai Cahaya Bulan telah menjadi tempat perkelahan yang popular di kalangan keluarga-keluarga tempatan, khususnya pada hujung minggu. Pantai ini lengkap dengan kemudahan untuk para pengunjung, terdapat pilihan hotel, chalet, kawasan perkhemahan, kedai makan dan gerai, dan tandas awam.

Perjalanan ke pantai ini dari Kota Bharu akan membawa pengunjung melalui satu pekan Melayu tradisional . Ini adalah kawasan kraftangan yang penting di negeri untuk pencetakan batik, penenunan songket, dan pembuatan layang-layang serta loyang.


2. Pantai Tok Bali

Pantai Tok Bali ialah sebuah pantai yang terletak di Kelantan, Malaysia. Pantai Tok Bali terkenal dengan kelebihannya yang tersendiri. Ia bukan sahaja menjadi tumpuan bagi penduduk tempatan malah menjadi kemestian bagi pelancong asing untuk menikmati keindahan pantai di Tok Bali. Terdapat banyak rumah tumpangan atau resort yang indah di sepanjang pantai tok bali seperti Tok Aman Beach Resort, Villa Danialla dan sebagainya. Selain itu, bagi penduduk yang bekerja sebagai nelayan, Tok Bali merupakan tempat untuk mereka mencari rezeki kerana ia terkenal dengan hasil penangkapan yang boleh membawa keuntungan kepada nelayan-nelayan.

Tok Bali juga merupakan destinasi penjualan hasil-hasil penangkapan oleh nelayan-nelayan. Kita dapat meperolehi hasil - hasil tersebut dengan harga yang berpatutan di samping dapat menikmati kesegaran hasil - hasil tangkapan.Secara tidak langsung, ia menjadi tarikan pelancong untuk datang ke sini kerana banyak menjual pelbagai makanan laut.


 
3. Pantai Irama

Pantai Irama terletak di Bachok,Kelantan menghadap Laut China Selatan. Pantai Irama terkenal sebagai pusat pelancongan di kawasan pantai yang utama di negeri Kelantan.

Pantai Irama terletak di pinggir Bandar Bachok., kira-kira 20 km dari Kota Bharu melalui jalan tempatan Kota Bharu-Tawang-Bachok yang mengambil masa kira-kira 30 minit. jalan masuk ke pantai irama boleh diakses sehingga di tepi pantai.



 PUSAT KESENIAN



1. Gelanggang Seni
 
Dalam mengejar erti pembangunan kerajaan Kelantan juga tidak pernah mengabaikan seni warisan budaya rakyat negeri ini. Sehubungan dengan itu, Gelanggang Seni yang terletak di Jalan Sultan Mahmud iaitu kira-kira 2 km dari pusat bandar Kota Bharu diwujudkan.
Pusat ini sentiasa menjadi daya tarikan kepada para pelancong dan kepada anak-anak Kelantan yang cintakan seni warisan bangsa untuk berkampung dan mempersembahkan persembahan masing-masing. Antara persembahan yang masih digemari dan kerap diadakan ialah dikir barat, Rebana Ubi, permainan gasing, dan wau bulan. Persembahan ini diadakan pada hari Rabu setiap minggu secara bergilir-gilir.

 BERSANTAI


 
1. Jeram Pasu

Jeram Pasu adalah merupakah salah satu kawasan rekreasi hutan lipur dan air terjun yang terkenal di Pasir Puteh, Kelantan. Jeram Pasu dihubungi dengan jalan raya bertar dan pengunjung boleh ke sana dengan menaiki perkhidmatan bas awam, kereta persendirian dan teksi. Jeram Pasu terletak kira-kira 8 kilometer dari simpang Kampung Padang Pak Amat, Jalan Pasir Puteh - Kota Bharu.


2. Jeram Linang

 Jeram Linang (kadang-kadang ditulis Jeram Lenang) merupakan salah satu kawasan rekreasi hutan lipur dan air terjun yang terkenal di Kelantan. Jeram Linang terletak di Hutan Simpan Ulu Sat, dalam Jajahan Machang, Kelantan dan dihubungi dengan jalan raya bertar. Pengunjung boleh ke sana dengan menaiki kereta persendirian dan teksi.